Mari Berniaga Bersama...

http://www.JIABiz.com/pandak

Saturday, August 14, 2010

Cerdikkah Khazanah belanja RM10 bilion kuasai Parkway

Abdul Aziz Mustafa   
KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan adakah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) boleh dianggap cerdik dan amanah apabila berbelanja lebih RM10 bilion untuk menguasai Parkway Holdings Ltd (Parkway).
Akhbar tempatan melaporkan kononnya pesaing Khazanah, Fortis Healthcare Ltd, "mengaku kalah" selepas Khazanah menaikkan harga tawaran untuk mengambil alih Parkway, sekali gus muncul sebagai pembida tunggal utama.
Sedangkan, urusniaga itu memberikan keuntungan sebanyak S$116.7 juta atau kira-kira RM272.0 juta kepada dua beradik yang menguasai Fortis, iaitu Malvinder Singh and Shivinder Singh.
Kesemuanya, Khazanah telah berbelanja lebih RM10 bilion untuk menguasai Parkway.
Parkway Holdings Limited adalah syarikat penjagaan kesihatan yang disenaraikan di Singapore Stock Exchange. Syarikat itu menguruskan 16 hospital dengan lebih 3,400 katil di Asia.
Mahfuz mempersoalkan, dengan modal RM10 bilion itu, berapa pulangan boleh dapat setahun.
"Adakah ini pelaburan yang baik dan beramanah kepada rakyat Malaysia? Duit mereka telah dibelanjakan lebih RM10 bilion oleh Khazanah kononnya untuk menguasai Parkway termasuk memberi durian runtuh RM272.0 juta kepada dua beradik yang kononnya mengaku kalah itu.


"Adakah Parkway boleh bayar dividen 10 peratus setahun?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.
Mahfuz berkata, lebih baik RM10 bilion itu digunakan untuk beli emas kerana harga emas ada peluang naik 30 peratus dalam tiga tahun.
Beliau tidak yakin pelaburan Khazanah itu adalah pelaburan yang baik kerana umum mengetahui bahawa kekuatan negara kita adalah dalam sektor elektronik, elektrikal, teknologi maklumat, minyak dan gas serta komoditi seperti kelapa sawit, koko, getah dan balak.
"Jika kita mengeksport barangan tersebut dan kita dapat dolar hasil dari jualannya, munasabahlah kalau kita laburkan RM10 bilion dalam bidang yang kita ada kemahiran," kata Mahfuz.
Lebih dari itu, katanya lagi, kita boleh mengadakan usahasama dengan syarikat-syarikat multinasional yang memang cekap dalam bidang-bidang tersebut.
"Contohnya dengan kekuatan komoditi yang kita ada, kita adakan usahasama dalam bidang makanan halal dengan Nestle," katanya.
Mahfuz juga mempersoalkan limpahan ekonomi yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dengan pelaburan RM10 bilion itu.
"Berapa orang rakyat Malaysia dapat pekerjaan? Berapa industri kecil dan sederhana Malaysia yang dapat jadi vendor? Adakah jawapannya kosong?" beliau mempersoalkan.
Sedangkan, katanya, kalau RM10 bilion dilaburkan untuk mengadakan usahasama dengan syarikat multinasional untuk membuka kilang elektronik misalnya, lima kilang elektronik mungkin boleh diwujudkan dengan anggaran 2,000 orang boleh mendapatkan pekerjaan bagi setiap kilang.
Kalau buka kilang petrokimia pula, katanya lagi, tiga kilang mungkin boleh dibuka dengan RM10 bilion itu dengan anggaran 3,000 orang boleh mendapatkan pekerjaan bagi setiap kilang.
"Pelaburan dalam Parkway itu ternyata mengakibatkan kerugian peluang atau opportunity loss kepada rakyat Malaysia," katanya.
Ketika diminta mengulas tentang semakin tersebarnya tuduhan dungu terhadap Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, Mahfuz hanya sekadar bertanya: "Adakah itu bermakna (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) adalah bapa segala dungu kerana beliau adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah?"

No comments:

Post a Comment