Kongres Ekonomi Bumiputera di ibunegara hari ini panas apabila Model Ekonomi Baru (MEB) yang disusun oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negera (MPEN) telah dikritik oleh dua bekas pegawai tinggi kerajaan pusat kerana "tidak mengutamakan agenda bumiputera".
Mereka ialah bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Senator Datuk Akbar Ali dan bekas ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPE) Datuk Halipah Esa.
"Model ekonomi baru adalah dokumen MPEN yang belum diterima oleh kerajaan.
"Ia menyerang bangsa Melayu dan Dasar Ekonomi Baru (DEB)... MPEN kena berpegang kepada kekuatan sendiri, bukan kelemahan orang lain," kata Akbar disambut laungan beberapa peserta "bakar buku itu" dan "buang buku itu".
Modul itu kini dibukukan sebagai cadangan kepada kerajaan dan kulitnya berwarna merah.
Akbar mengulas pembentangan kertas kerja oleh Ketua Setiausaha MPEN, Prof Dr Normah Mansor (kiri) bertajuk "Agenda Melayu Dalam Model Baru Ekonomi" di Dewan Tun Hussein PWTC.
Kongres anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta hadir yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Normah mengakui kekurangan dasar-dasar khusus untuk bumiputera dan Melayu dalam model ekonomi baru tersebut.