Mari Berniaga Bersama...

http://www.JIABiz.com/pandak

Friday, April 22, 2011

PENANGAN BOB LOKMAN DI KUANTAN

Khamis, 21 April 2011

KUANTAN, 20 April - Program ceramah umum bersama bekas Pengacara dan Pengkritik Tetap Raja Lawak Astro, Bob Lokman (foto) di Putra Balok semalam telah berjaya menarik perhatian ramai peminatnya.

Malah, sebahagian besar mereka yang hadir terdiri daripada generasi muda dari beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di bandar ini. Bob Lokman memulakan ceramah sekitar jam 11.10 malam selepas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh memulakannya.

Ceramah beliau yang julung kalinya di kawasan ini telah berjaya menarik perhatian orang ramai yang hadir. Sebahagian besar dari kalangan mereka, masih tidak percaya dengan tindakan artis tersebut tiba-tiba berjuang dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Namun, itulah takdirnya dan Bob berjaya mencuit hati orang ramai dengan celoteh bersahajanya yang dilihat agak tertib dan bersopan.

Dalam ceramahnya semalam, Bob banyak menyentuh tentang soal iman dan takwa. Beliau juga menyeru hadirin yang hadir agar menyampaikan ilmu yang diperolehi pada malam itu kepada rakan-rakan yang lain terutamanya orang UMNO. "Saya rasa antara tuan-tuan dengan saya tuan-tuan lebih banyak hadir ke ceramah. Mungkin lebih dari 200 kali. Tetapi, berapa banyak ilmukah yang telah tuan-tuan sebarkan kepada rakan-rakan yang lain dikalangan UMNO?", tanya Bob kepada orang ramai. "Amatlah rugi bila ilmu yang bermanfaat itu tidak disebarkan, saya harap tuan-tuan akan memulakannya pada malam ini", kata beliau.


Bukti, sebahagian besar generasi muda telah berada di hadapan pentas

"Kerajaan yang ada pada hari ini ternyata gagal mendidik manusia ke arah keimanan dan ketakwaan. Unsur hiburan terus disogokkan kepada generasi muda dan inilah yang saya lalui selama ini. Buka Astro ada Akademi Fantasia, bukan TV3 ada Mentor, buka TV1 ada Bintang Klasik malah termasuk juga Bintang Kecil serta lain-lainnya. Inilah yang menyebabkan generasi muda akhirnya rosak akhlak dan akidah mereka. Media yang ada tidak digunakan untuk membawa manusia ke arah agama Islam yang sebenarnya", tambah Bob Lokman lagi.


Peminat Bob berpusu-pusu bergambar dan dapatkan tandatangannya

Ust. Suhami, Ust.Nasron (YDP PAS Indera Mahkota) dan YB Fuziah (PKR)

Sebahagian diantara ribuan rakyat yang hadir dalam ceramah umum itu

[Secara keseluruhannya mesej yang ingin disampaikan oleh Bob Lokman itu jelas dapat diterima oleh orang ramai yang hadir. Malah, selepas ceramah, beliau telah dikerumuni oleh ramai anak muda yang mahu mendapatkan autograf dan bergambar dengannya. Dalam pada itu, difahamkan sebelah petangnya satu majlis jamuan Hi-Tea juga telah diadakan di lokasi berhampiran dan beliau juga dikatakan telah menyampaikan tazkirah Maghrib di sebuah surau dekat Kempadang sebelum itu. Kehadiran Bob Lokman dilihat berjaya menarik perhatian ramai pihak, malah terdapat juga dikalangan mereka yang merupakan penyokong tegar UMNO turut hadir. Apapun syabas dan tahniah kita ucapakan kepada Bob, semoga beliau terus konsisten untuk menyebarkan dakwah Islamiah kepada seluruh umat Islam di negara ini. Tambahan pula, khabarnya beliau kini menerima begitu banyak undangan ceramah di seluruh negara. Jadualnya cukup ketat sehingga bilan Jun 2011 ini. Semoga masa depannya akan lebih bersinar lagi tatkala bersama perjuangan Islam di bumi Malaysia tercinta ini]./PahangDaily

No comments:

Post a Comment