Peguam Lawyers For Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri yang membantah keras penguatkuasaan undang-undang Ordinan Darurat menerima ugutan dari seorang anggota polis ketika menjalankan tugasnya di Ibu Pejabat Polis Derah Gombak semalam.
Ugutan berbunyi "jangan sampai jadi macam SPRM" itu diterima Fadiah ketika mengambil keterangan anak guamnya, Mohamad Arif Abu Samah.
Peguam kepada Fadiah, N. Surendran berkata tindakan anggota polis berkenaan adalah perbuatan melampau yang salah di sisi undang-undang dan boleh didakwa di bawah Seksyen 503 dan Seksyen 506 Kanun keseksaan Imiditasi Jenayah dengan niat menakutkan individu dengan kematian.
“Kita memberikan tempoh 24 jam untuk menahan pegawai polis yang terlibat, ugutan ini bukan sahaja kepada individu tetapi terhadap sistem keadilan negara, jika peguam diugut, rakyat akan menderita,” katanya.
Pada sidang media yang diadakan di pejabat LFL hari ini, Surendran menjelaskan anak guamnya ada mencabar anggota polis berkenaan membuang beliau dari tingkap dan ia tidak dinafikan oleh pegawai berkenaan.
Tindakan agresif anggota polis itu kata Surendran jelas melangkaui batas undang-undang yang sepatutnya menjadi amalan mereka.
Ugutan untuk mencampak Fadiah keluar dari tingkap mirip kejadian yang berlaku terhadap mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu.
“Sekali lagi masalah daripada pihak kerajaan, Menteri Dalam Negeri kerana kerajaan terus-menerus melindungi pihak berkuasa setiap kali mereka melakukan kesalahan. Jika berlaku seperti kes Teoh beng Hock, semalam anggota terbabit tanpa rasa takut mengugut peguam untuk menghumbannya keluar daripada tingkap,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Jelas Surendran, ketika insiden itu, Fadiah menemui anak guamnya yang merupakan satu prosedur biasa terhadap mana-mana individu yang ditahan dan kehadiran anggota polis dilihat bertujuan untuk mengganggu tugas pihak peguam.
Beliau memaklumkan kejadian ugutan ini tertakluk di bawah Seksyen 503 dan Seksyen 506 Kanun keseksaan Imiditasi Jenayah dengan niat menakutkan individu dengan kematian, jika sabit kesalahan hukuman penjara selama 7 tahun boleh dikenakan.
Fadiah sebelum ini membantah keras penguatkuasaan undang-undang Ordinan Darurat ke atas remaja berusia 19 tahun yang membenarkan penahanan tanpa bicara
selama 60 hari.
Menurut Fadiah penggunaan undang-undang berkenaan untuk menahan remaja yang kini adalah anak guamnya begitu kejam memandangkan remaja berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah untuk disabitkan kesalahan. -tvsnews
No comments:
Post a Comment