Mari Berniaga Bersama...

http://www.JIABiz.com/pandak

Saturday, December 20, 2014

PAS desak tarik balik Notis Merah kepada Al-Qaradawi


HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah iaitu waran tangkap dan senarai orang yang dikehendaki kepada Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.

"Sesungguhnya ini adalah satu tindakan yang jelas 'double-standard' dan jelas berpihak kepada rejim kudeta Mesir pimpinan Jeneral As-Sisi.
"Perkara ini amatlah dikesali kerana umum mengetahui kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh As-Sisi dan gerombolannya terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan.



Katanya, atas sifat dendam, kerajaan Mesir itulah yang menuntut Interpol bertindak sedemikian rupa.
Justeru, ujar beliau PAS memperingatkan bahawa tindakan Interpol itu seolah-olah menyemarakkan lagi Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam kepada Islam apabila ulama tersohor dunia Islam dikaitkan dengan tuduhan menghasut keganasan dan aktiviti terorisme.

Katanya, konspirasi Barat untuk memburukkan Islam sudah sekian lama berlaku dengan niat jahat mereka menakutkan dan menjauhkan masyarakat umum daripada agama Islam.
"Kami juga kesal akan sikap kerajaan Malaysia yang masih berdiam-diri dalam hal ini sedangkan Syeikh Yusuf bukanlah tokoh yang asing di Malaysia ini," ujarnya lagi.
Ini, katanya kerana pihak kerajaan sendiri pernah menganugerahkan Dr Yusuf Al-Qaradawi sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431/2009 yang lalu.

Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu Wisma Putra sewajarnya bersifat proaktif dalam hal ini untuk membela tokoh hebat yang telah menjadi mangsa teraniaya.
"Bukankah kerajaan sendiri sering mendabik-dada mengatakan Malaysia berpengaruh, disegani dan dihormati di peringkat antarabangsa maka tidaklah rugi untuk kita menyatakan pendirian dalam hal ini?" tanya beliau.

Beliau berkata, PAS turut menyeru pertubuhan OIC agar menyatakan pendirian mereka dalam hal ini kerana Syeikh Yusuf adalah bagaikan mutiara dan khazanah yang tidak ternilai yang masih kita punyai dan amatlah wajar dibela nasib beliau.

"Seluruh umat Islam wajar bersatu dan bersepakat untuk menyatakan kekesalan dan bantahan kita terhadap tindakan Interpol ini," katanya.

PAS, tegas beliau mendesak agar Red Notice yang telah dikeluarkan itu dapat ditarik balik dengan segera agar Interpol kekal sebagai institusi yang bebas dan tidak berpihak.
Menurutnya, amatlah malang sekali apabila Interpol sanggup tunduk dan bersekongkol dengan Rejim As Sisi yang kejam lagi zalim itu.

- HARAKAHDAILY 20/12/2014

No comments:

Post a Comment